Novel - Dendam Sang Iblis

June 13, 2005

Jelmaan

Filed under: bab 1 - hotdick80 @ 8:11 am

Suasana menjadi sepi di dalam gubuk. Hanya dengkuran pemuda itu yang kedengaran. Kemudian, tiba-tiba kedua-dua lilin merah di atas meja kecil itu menyala. Memperlihatkan sebiji tengkorak manusia.

“Julfan…Julfan….” Suatu suara ganjil memanggil-manggil nama pemuda itu. Berulang-ulang. Pemuda itu tersedar dari tidurnya dan lantas terduduk apabila memerhatikan perkara di hadapannya. Terkesima dia. Matanya melopong melihat tengkorak manusia itu. Bulu romanya mula naik. Dia berasa amat seram sekali melihat kejadian aneh itu di hadapan matanya. Suara ganjil itu terus memanggil-manggil namanya. Tengkorak manusia itu mula terapung-apung di awang-awangan sambil berputar-putar. Dan akhirnya menghadap Julfan. Mata tengkorak itu mengandungi pusaran merah, memerhatikan Julfan.

“Siapa kau?” Julfan memberanikan dirinya untuk bertanya. Tengkorak manusia itu masih terapung-apung di udara. Suara yang memanggil-manggil namanya juga hilang. Segala-galanya di sekeliling seolah-olah tidak bergerak seketika. “Aku adalah segala harapanmu, cita-citamu dan dendammu.” Suara itu akhirnya bersuara, berkumandang di keliling gubuk. Julfan tersentak lalu terdiam mendengar jawapan suara itu. Terutama perkataan terakhir tengkorak itu. Mindanya mencongak-congak sesuatu. Dendamnya terhadap majikannya sememangnya perlu dibalasnya.

“Apa yang kau mahu dariku?” tanya Julfan kepada tengkorak itu.

“Tubuhmu.”

Julfan terpinga-pinga mendengar kata-kata tengkorak itu. Bagaimana dia dapat menberikan tubuhnya untuk menyelesaikan segala harapan, cita-cita dan dendamnya itu? Perlukah dia berbuat begini?

“Bagaimana aku dapat memberikan tubuhku ini kepadamu? Bagaimana caranya?” Julfan bertanya.

“Kau tak perlu risau…rohmu akan kugabungkan dengan roh diriku….Kau akan menjadi aku, dan aku akan menjadi kau. Kau akan tidak dihina lagi. Kuasaku akan menjadi milikmu. Dan kecacatan kau itu akan dapat dipulihkan.”

“Benarkah kata-katamu itu? Bolehkah aku mempercayainya?”

“Aku tidak berbohong.”

Julfan mula berasa yakin dengan kata-kata tengkorak manusia itu. Amat mempercayai suara itu. Dia sudah jemu dicemuh dan dihina kerana kecacatan dan kemiskinannya itu.

“Baiklah. Apa yang harus aku lakukan?”

“Berdiri di tengah-tengah bilik ini. Aku akan bergabung dengan kau.”

Julfan bangkit dan berdiri di tengah-tengah ruang di gubuk usang. Tengkorak manusia itu pula mengundur dari Julfan. Kemudian berputar-putar. Semakin lama semakin pantas. Dan akhirnya meletup, terus berkecai. Julfan terkejut melihat kejadian itu. Apakah suara itu telah mati? Tetapi kemudian terdengar suara itu mengarahkannya, “Tumpukan pemerhatianmu.” Julfan mengikut arahan suara ghaib itu. Matanya ditutupnya rapat, memberi konsentrasi sepenuhnya. Peluh dingin mula membasahi dahinya.

Comments

The URI to TrackBack this entry is: http://dsi.blogsome.com/2005/06/13/jelmaan/trackback/

No comments yet.

RSS feed for comments on this post.

Leave a comment

Sorry, the comment form is closed at this time.

Get free blog up and running in minutes with Blogsome | Theme designs available here