Misteri
Di kota itu, heboh berita mengenai kematian misteri Nurita, bekas model terkenal dan juga anak perempuan sulung kepada Datuk Riduan, tokoh politik terkemuka. Berduyun-duyun wartawan dari pelbagai penerbitan suratkhabar mengunjung rumah Datuk Riduan untuk mendapat bahan-bahan berita mengenai kematian mengejut Nurita. Datuk Riduan mahu tak mahu terpaksa melayan kerenah wartawan-wartawan tersebut kerana dia khuatir pengaruh politiknya akan terjejas sekiranya dia tidak melakukan demikian. Tentu reputasinya sebagai seorang tokoh yang berkarisma dan berkaliber tinggi akan dipertikaikan.
“Apakah mungkin Datuk, musuh politik Datuk telah mengupah pembunuh profesional untuk membunuh anak Datuk?” “Mungkinkah anak Datuk membunuh diri?” “Datuk, apakah Datuk merasakan bahawa anak Datuk telah terkena buatan orang?” Bertalu-talu soalan mengenai kematian Rita ditanya kepada Datuk Riduan. Pening kepala Datuk Riduan hendak menjawabnya. Ingin sahaja Datuk Riduan menjerit kepada wartawan-wartawan tersebut supaya meninggalkannya bersendirian sahaja, tetapi dia masih boleh tetap bersabar.
